Tuesday, November 19, 2013

Motivasi : Peluang Ada Dimana-mana

11/19/2013
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Sejak beberapa hari lalu, sibuk dikatakan tentang kenaikan harga minyak petrol dan diesel di seluruh negara. Sebagai seorang rakyat marhaen di negara ini, saya juga pastinya terasa kesan akibat dari kenaikan tersebut. Kenaikan ini pasti bukan sahaja melibatkan petrol dan diesel, malah kebiasaannya akan turut diikuti dengan pelbagai barang keperluan lain seperti barang dapur. 

Walaupun kenaikan harga petrol diluar kawalan kita semua, namun kita seharusnya lebih bijak dalam menguruskan perbelanjaan harian kita. Sebagai seorang peniaga contohnya, kenaikan barang pastikan menjejaskan perniagaan mereka, namun mereka kena yakin bahawa mereka boleh mencari sumber-sumber pendapatan lain yang tidak berkaitan secara langsung dengan kenaikan harga petrol. Sebagai contoh, menjual barangan secara atas talian. 

Sudah pasti kos yang akan dikenakan oleh syarikat kurier juga akan turut naik, namun sebagai seorang peniaga yang bijak, mereka seharusnya pandai mencari ruang untuk mengurangkan kos kurier tersebut. Contohnya seperti mendaftar untuk menjadi pelanggan tetap dan peniaga berskala besar untuk mendapatkan penjimatan terhadap penggunaan kurier secara pukal. Saya yakin, terdapat banyak lagi ruang yang boleh diteroka oleh para penjual selain dari mengenakan harga yang lebih tinggi kepada pelanggan akhir.




Peluang hanya dapat dihidu oleh orang-orang yang celik dengan persekitaran.

Tuesday, September 17, 2013

Simpan Wang Untuk Perkara Yang Perlu

9/17/2013
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Hari ini saya ingin berkongsikan tips untuk menyimpan wang. Objektif kebebasan kewangan kali ini adalah untuk menyimpan segala sen yang anda dapat ketika bekerja.Simpankan wang ini untuk pelaburan yang dapat menanggung perbelanjaan masa depan anda. Setiap sen patut di kira kerana contohnya 1 sen yang anda simpan sehari akan menjadi 365 sen setahun atau RM3.65 setahun.

Jika anda mendapat dividen 10%, ia akan menaik sehingga RM4 dalam masa setahun. Tidak mustahil selepas 50 tahun, 1 sen yang anda simpan tiap-tiap hari akan menjadi satu juta! Ini dinamakan "Compounding Interest". Rahsia untuk menyimpan sebenarnya adalah merancang perbelanjaan anda dan meletakkan target untuk menyimpan satu jumlah sehari! Misalnya, jika anda membeli-belah di Pasaraya Besar seperti Giant/Tesco/ Aeon Big, anda target untuk berjimat sekurang-kurangnya 10% dari perbelanjaan anda.


Jika anda dapat membeli pack yang lebih besar atau membeli produk yang ditawarkan pada harga promosi, anda boleh berjimat lagi. Katakan 10% dalam RM60 yang anda belanjakan, anda dapat berjimat setiap bulan semata-mata kerana memilih Pasaraya Besar dari pergi ke kedai runcit biasa. 

RM60 setiap bulan akan menjadi RM 720 setahun. RM720 kalau dibiarkan dalam ASB, akan menjadi RM13,000 dalam masa 30 tahun. Terlalu mudah! Bayangkan tiap-tiap bulan selama 30 tahun anda dapat jimat 10%, anda sudah boleh bersara dengan mudah kerana memilih Pasaraya Besar dari kedai runcit anda.


Wednesday, July 17, 2013

Strategi Kejayaan Dan Kekayaan - Strategi No.1

7/17/2013
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Jika kita tanya pada individu yang berjaya diluar sana, pasti disebalik kejayaan mereka tersemat beberapa panduan yang menjadi pegangan hidup mereka. Menjadi lumrah manusia, yang hanya kuat semangat dan berusaha keras sahaja yang mampu mencapai tahap kebebasan kewangan. 

Di dalam artikel kali ini, saya ingin berkongsi beberapa strategi dan panduan yang dipegang erat oleh individu yang berjaya. Untuk hari ini, saya akan kongsikan startegi yang paling utama atau paling penting yang sepatutnya kena ada pada diri kita semua.


1.Sikap

Jika hanya ada satu sahaja faktor penentu kejayaan dalam apa juga yang anda lakukan, itu ialah sikap.Albert Einstein pernah mengatakan bahawa sikap merupakan 99% penentu kejayaan atau kegagalan seseorang. Anda mestilah mempunyai sikap yang positif dalam apa juga yang anda mahu lakukan, jika anda mahukan kejayaan.



Samada anda berjaga, hendak melelapkan mata, bekerja – apa juga yang anda buat, anda mestilah tanamkan sikap positif.  Apabila sesuatu perkara tidak menjadi seperti yang anda harapkan, anda sepatutnya terus bersikap positif. Jika anda bangun lewat, jangan merasa bosan, sebaliknya anda harus berfikiran positif dan berkata kepada diri anda sendiri “ OK, hari ini aku terlewat bangun, sekarang aku perlu lakukan yang terbaik untuk hari ini”.

Saya tidak percaya bahawa mereka yang berjaya pada hari ini boleh mencapai tahap itu tanpa mempunyai sikap yang baik dan positif. Sebenarnya lebih mudah untuk berfikiran negatif, dan untuk pengetahuan anda untuk berfikiran positif memerlukan sedikit usaha. 

Tampalkan satu nota di atas meja anda, di dalam kereta, cermin dibilik air yang tertulis “SIKAP”.  Apabila anda melihat nota itu, berhenti sejenak dan berfikir tentang perkara yang sudah berlaku pada hari itu, dan jika ada masanya anda merasa tidak berfikiran positif, fikirkan semula dan teruskan kerja yang anda lakukan.

Jika anda bersikap positif, semua perkara yang anda lakukan akan menjadi lebih mudah. Jika ada perkara yang anda tidak suka lakukan, jangan biarkan sehingga pada saat akhir, bahkan lakukan perkara tersebut dahulu dan fikirkan “Saya mahu menyiapkan kerja ini sampai siap kemudian saya boleh buat kerja yang saya suka !”. Cubalah teknik ini dan anda pasti akan merasa perbezaannya.

Wednesday, March 20, 2013

Apakah Pekerjaan Ideal Anda?

3/20/2013
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Ini adalah sesuatu topik yang sangat baik untuk kita fahami. Ramai diantara kita yang berpendapat, kita akan mendapat pekerjaan dengan mudah apabila tamatnya pengajian di Institusi Pendidikan. Walaupun saya tidak pernah menafikannya, namun cabaran yang dialami untuk mendapat pekerjaan yang kita impikan adalah sangat mencabar.

Hari ni, saya cuba kongsikan 1 tips yang saya dapat melalui pembacaan di internet. Cuba anda cari suatu masa yang sesuai untuk anda berfikir, samada sebelum tidur atau semasa sedang berehat di rumah. Mungkin latihan ini kelihatan agak aneh, tetapi ianya akan dapat membantu anda untuk lebih memahami diri anda dengan mendalam. 

Bayangkan satu hari anda akan menerima wang sebanyak RM1 juta. Mulai dari saat itu, wang bukan lagi menjadi masalah kerana wang akan sentiasa datang kepada anda. Apakah sebenarnya pekerjaan yang anda betul-betul ingin lakukan? Anda mahu menjadi seorang kasanova dan duduk tanpa berbuat apa-apa sepanjang hari? Atau anda ingin menjadi seorang sukarelawan? Anda ingin menjadi seorang Guru, Doktor, Pengkaji sejarah, Pensyarah, Nelayan atau apa-apa sahaja?. Tidak ada apa yang salah. Itu sebenarnya adalah keinginan anda sendiri. 

Satu lagi latihan ialah, semasa anda kecil apa yang anda benar-benar impikan. Teringat saya pada masa kecil dahulu. Kita diminta mengisi kad di sekolah yang menyatakan cita-cita ketika besar nanti. Seingat saya, hampir setiap tahun cita-cita saya berubah. Ada ketika nak jadi pegawai bomba. Ada juga ingin menjadi pemain bola sepak profesional. Tapi akhirnya, semua tidak menjadi. :)

Adakah anda telah mencapai apa yang anda hajati sebelum ini? Jadi mungkin setelah anda bebas kewangan itulah sebenarnya yang anda ingin lakukan di dunia ini. Jadilah diri anda yang tahu apa yang anda ingin lakukan sekarang.

Thursday, February 14, 2013

Laman Web Terbaru

2/14/2013
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Hari ini saya ingin berkongsi satu lagi laman web yang saya sedang usahakan, khas untuk menjual produk-produk dropshipping secara maya. Laman web yang saya maksudkan adalah www.murah2u.my. Dengan tagline 'Disini Segalanya Murah!', saya bercadang untuk menjual produk-produk yang murah dan terbaik di pasaran. Walaubagaimanpun, ianya masih lagi didalam perancangan saya. Ini kerana, saya percaya, jika kita ingin betul-betul berjaya dalam bidang perniagaan, kita seharusnya mampu memberikan komitmen sebanyak 200% dalam perniagaan. Jika kita hanya berangan-angan sahaja, sudah pasti tidak ada apa yang boleh dihasilkan pada akhirnya.



Saya akan cuba mencari idea apakah produk-produk yang boleh saya tawarkan pada harga yang sangat berpatutan. InsyaAllah, saya akan kemaskini laman web ini dari semasa ke semasa. :)

Sunday, January 6, 2013

Kawal Wang Anda

1/06/2013
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Hari ini saya ingin berkongsikan satu tips mudah untuk pengurusan kewangan anda. Walaupun ianya mudah, tapi cuba pastikan anda mulakan pada hari ini juga. :)

Bina satu sistem yang mudah untuk menyusun kewangan anda. Gunakan Microsoft Excel untuk menyusun perbelanjaan harian anda. Di internet, terdapat pelbagai bentuk Excel yang diberikan percuma untuk mendapatkan template Excel tersebut. 

Secara ringkasnya, anda perlu menutup segala kebocoran dalam sistem perbelanjaan anda. Anda perlu tahu kemana duit anda dibelanjakan. Di penghujung bulan, anda harus menganalisa semula semua perbelanjaan anda dan cuba cari jalan bagaimana untuk menghindarkan perbelanjaan yang tidak perlu;

Cuba anda ikuti latihan-latihan mudah berikut :

1. Rancang perbelanjaan anda. Hadkan perbelanjaan dan senaraikan barang-barang yang anda perlukan sahaja sebelum pergi membeli-belah dan tuliskannya di atas kertas.

2. Ambil sedikit masa untuk memantau harga pasaran dan pergi ke empat buah kedai sebelum membeli sesuatu. Untuk ini, anda boleh membuat perbandingan secara maya di talian internet. Periksa setiap promosi yang ditawarkan oleh tempat yang anda ingin tuju. Lawat pula laman web pesaing syarikat tersebut. Mungkin terdapat beberapa promosi yang lebih baik sedang ditawarkan.

3. Tawar dan cari harga terendah sedaya upaya anda.

4. Ambil resit dan minta sekiranya tidak diberikan.

5. Perhatikan resit yang diterima kerana mungkin berlaku kesilapan.

6. Kategorikan resit anda untuk perbelanjaan rumah, belanja makan dan lain-lain lagi.

7. Selalu imbangkan akaun anda.

8. Masukkan resit ke dalam fail-fail yang telah dikategorikan khas!

9. Analisa dan kaji semula semua perbelanjaan anda pada hujung bulan dan ambil tindakan yang sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan pada barang yang BUKAN keperluan.




Recent

recentposts

Random

randomposts