Wednesday, February 11, 2015

Budaya Membaca

2/11/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Budaya membaca seharusnya dijadikan sebagai budaya yang terulung di kalangan bangsa kita. Budaya ini membuktikan bahawa masyarakat yang suka membaca mempunyai ketinggian ilmu pengetahuan yang dapat meningkatkan produktiviti di sesebuah negara. Budaya ini seharusnya dimulai dari awal usia dan dididik oleh para ibu bapa dirumah. Kita tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab membaca ini kepada pihak sekolah sahaja. Itu persepsi yang salah.


Baiklah, mulai hari ini, saya berazam ingin berkongsi beberapa ilmu dan tips yang saya perolehi hasil dari pembacaan saya. Semoga ianya akan memberikan manfaat kepada anda nanti. Mungkin tips yang ingin dikongsikan telah anda ketahui dan amalkan, namun jadikanlah tips ini sebagai satu proses peringatan atau reminder di dalam hidup kita supaya kita sentiasa ingat dan waspada dengan semua aktiviti kita.


Rancangan saya adalah, jika saya membaca dan terdapat point atau tips yang dirasakan berharga, saya akan kongsikan disini. Jadi, untuk tidak terlepas dari sebarang tips yang ingin dikongsikan, anda bolehlah melanggan artikel saya in ruang sebelah kanan blog ini.

Untuk tips hari ini:

"Sekiranya kamu perlu makan seekor katak pada setiap pagi, kamu perlu bersyukur kerana itulah perkara terburuk yang mungkin berlaku pada hari itu;"
-Mark Twain-

Sunday, February 8, 2015

Keputusan Peperiksaan ACCA - Disember 2014

2/08/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Syukur kepada Allah. Segala puji hanya bagi Allah. :)



Hari ini, keputusan untuk peperiksaan ACCA telah keluar. Berdebar juga la menantikan keputusan ini. Ye la, dulu masa waktu tengah peperiksaan, banyak sangat perkara yang boleh menghalang kepekaan saya terhadap pelajaran. Hari ini, adalah masa untuk melihat samada saya betul-betul bersungguh ataupun tidak di dalam ujian ini.

Untuk pengetahuan anda semua, saya telah mengambil 3 paper untuk peperiksaan kali ini iaitu F4 (Corporate & Business Law), F5 (Performance Management) dan F7 (Financial Reporting). Berikut adalah keputusannya:



Ya, saya telah gagal dalam satu subjek iaitu kertas F7. Sekadar berkongsi, kertas F7 ini memang susah. Betul-betul susah setakat saya belajar ACCA hingga hari ini. Lagi pula format telah bertukar, jadinya memang bertambah susah.

Walaubagaimanapun, saya bercadang untuk mengambil semula kertas ini pada peperiksaan Jun 2015 ini nanti. Jika saya tidak lulus kertas ini, makanya saya tidak boleh melepasi ke tahap seterusnya iaitu kertas Profesional (P Paper).

Apapun, bersyukur juga dengan nikmat kurniaan ini kerana 2 paper telah lulus dengan jayanya. Sehingga ke hari ini, saya telah melepasi 7 kertas dari 14 kertas secara keseluruhannya. InsyaAllah, jika dikuatkan lagi usaha, tidak mustahil rasanya untuk mendapat keputusan yang baik untuk setiap kali peperiksaan di masa akan datang. 

Biar susah-susah dahulu, senang-senang kemudian.. v(^_^)v

Thursday, February 5, 2015

5 Tips Jimat Wang Semasa di Pasaraya Besar

2/05/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Semoa hari ini lebih menceriakan anda semua. 

Semua orang, tidak kira kecil mahupun besar, akan pergi ke pasaraya besar seperti Giant, Tesco, Aeon Big sekurang-kurangnya sebulan sekali. Ya, ini kerana mereka perlu untuk membeli stok barangan dapur yang semakin berkurangan pada hujung bulan. 

Untuk hari ini, saya suka nak berkongsi 5 tips yang selalu saya dan isteri akan lakukan jika pergi berbelanja di pasaraya diatas. Tips ini walaupun agak ringkas, namun ianya boleh menjadi panduan kepada anda yang ingin berbelanja mengikut bajet yang ditetapkan.

1. Buat senarai barangan yang ingin dibeli
Ini adalah perkara yang paling asas sekali. Jika ingin berbelanja, pastikan anda sudah tahu apa yang anda ingin beli. Walaupun ringkas, sekurangnya anda sudah ada bayangan barangan apa yang ingin dibeli dan barangan apa yang harus dielakkan. Disamping dapat mengelakkan dari tertinggal barang yang diperlukan, ianya dapat mempercepatkan proses membeli belah anda di dalam pasaraya.

2. Sentiasa buat semakan di mesin, pengimbas harga
Harga yang dipaparkan di rak bukan selalu betul! Ada kalanya harga yang dipaparkan adalah harga yang telah tamat promosi. Boleh jadi juga harga yang dipaparkan adalah harga untuk promosi yang akan berjalan esok harinya. Jadi, rajin-rajinkan membuat semakan di mesin pengimbas Price Checking. Ianya dapat menjimatkan banyak wang anda nanti.



3. Jangan lupa ambil katalog
Ramai orang fikir jika kita ambil katalog, potensi untuk membeli lebih dari apa yang ada dalam senarai kita adalah tinggi. Namun jangan lupa juga, dengan katalog yang disediakan, banyak juga item-item generik atau produk gantian yang lebih murah yang sedang dipromosikan oleh pasaraya tersebut. Jadi, pastikan anda mengambil satu dan membelek satu persatu muka surat untuk memastikan anda berada dalam keadaan yang bersedia untuk membeli barangan keperluan anda. Kadang-kala, barangan gantian yang anda ingin beli tu adalah lebih murah berbanding barang yang ada di dalamj senarai awal tadi.

4. Buat pengiraan matematik mudah
Semua orang termasuk kanak-kanak masa kini sudah memiliki handphone yang mempunyai fungsi kalkulator. Jadi, setiap kali barang yang ada ambil dimasukkan ke dalam troli, pastikan anda merekod semua perbelanjaan tersebut. Pastikan ianya berada di dalam bajet anda.

5. Tetapkan masa perbelanjaan anda
Semakin cepat anda keluar dari pasaraya, semakin banyak anda boleh menjimatkan wang anda. Ini kerana jika anda memperlahankan langkah kaki anda semasa membeli belah, ada potensi yang anda akan membeli banyak barang lain yang tidak diperlukan lagi. Seterusnya, anda membayar sesuatu yang tidak ada di dalam senarai awal tadi. Jadi, selepas anda sudah membuat semakan dengan senarai barangan yang dibawa, cepat-cepatlah membuat bayaran di kaunter. 

Inilah 5 tips yang selalu saya gunakan semasa membeli barangan keperluan di pasaraya besar. Anda juga boleh berjimat dengan menggunakan pelbagai kaedah lain. Yang penting, matlamat utama adalah untuk berjimat sebanyak mungkin. :)

Ok, sampai sini dulu. Kita jumpa lagi di entry akan datang.  v(^_^)v

Tuesday, February 3, 2015

3 Kesilapan Biasa Ketika Menggunakan Expert Advisor (EA)

2/03/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 

Semoga anda sihat sejahtera! Saya juga Alhamdulillah sihat. 

Hari ini, saya ingin berkongsi 3 kesilapan yang biasa kita lakukan apabila cuba untuk menggunakan EA sebagai alat bantuan trading anda. Ini adalah kesilapan yang biasa. Namun, ianya boleh menjadi panduan yang berguna kepada anda dan juga saya didalam penggunaan EA ini.

1. Tidak membuat cubaan untuk tempoh yang panjang
Kebanyakkan dari kita suka mencuba untuk menggunakan EA berdasarkan kepada Screenshot yang dipaparkan oleh penjual EA tersebut. Kita gopoh ketika hendak menggunakannya. Kebanyakkan terus membuat percubaan EA di akaun sebenar dan bukan akaun demo. Sepatutnya, percubaan harus dilakukan di akaun demo untuk tempoh yang agak panjang untuk melihat kemampuan EA ini mengharungi semua liku-liku didalam pasaran. Saya cuba menggunakan EA selama 1 bulan di akaun demo sebelum menggunakan di akaun sebenar. Ianya dapat mengurangkan risiko jika berlaku perkara yang tidak diingini dalam tempoh percubaan.


2. Tidak menggunakan VPS
Ramai dari kita yang ingin menggunakan EA namun tidak sanggup untuk berbelanja melanggan VPS. Sebenarnya, VPS ini adalah tool yang terpenting untuk melihat kejayaan EA tersebut. Dengan VPS, EA boleh dijalankan selama 24 jam tanpa henti. Ini membolehkan kita melihat keupayaan EA ini walaupun kita sudah menutup komputer kita. Jika anda tidak sanggup melabur untuk melanggan VPS, anda seharusnya tidak membeli sebarang EA untuk bantuan trading anda!

3. Tidak tahu menggunakan setting yang sebenar
EA ini sebenarnya agak susah juga jika tidak dapat menggunakan setting yang betul pada masa yang tepat. Ini kerana jika anda sudah salah setting sahaja, kemungkinan untuk akaun tersebut hangus adalah agak tinggi. Jadi,jika anda sudah membeli EA dari sesiapa sahaja, pastikan anda menggunakan setting yang betul yang diberikan oleh pemilik tersebut. Kadang-kala, setting adalah perkara yang unik untuk sesuatu EA yang harus anda gunakan untuk memaksimakan keuntungan.

Walauapapun cara anda trading, pastikan anda tahu apa yang anda sedang lakukan. Ini secara teorinya dapat membantu menambah keyakinan anda semada anda sedang atau akan lakukan trading nanti.

Sampai sini dulu sahaja tips ini ya. Jumpa lagi di entry seterusnya. (^_^)v

Friday, January 30, 2015

Beg Yang Sama, Namun Harga Yang Berbeza

1/30/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 


Semoga anda terus sihat dan tenang menempuhi kehidupan anda. Saya doakan yang terbaik. :)

Hari ini, isteri saya telah berkongsi tentang satu beg yang pernah beliau beli di Txxxx, Mid Valley. Beliau ke sana untuk menebus voucher bernilai RM100 yang diterima sebagai ahli kedai tersebut. Kalau dilihat, kedai ini memang penuh dengan ciri-ciri elegan dan eklusif. Maka, tidak hairan jika sebuah beg tangan di sana boleh mencecah sehingga ratusan ringgit. 

Setelah dipujuk oleh isteri untuk ke kedai ini, saya akhirnya bersetuju untuk menemaninya untuk window shopping. Perkara ini biasa kita lakukan. Tidak perlu keluarkan duit pun untuk window shopping. Namun, setelah sampai di kedai itu, rasa rugi juga jika tidak menggunakan voucher yang telah diberikan. Lagi pula, tarikh tamat voucher tersebut hampir dekat. Jadi, isteri saya telah membuat keputusan untuk menggunakan voucher tersebut walaupun terpaksa mengeluarkan sedikit wang untuk top up sebarang perbezaan harga.

Selepas puas membelek-belek, akhirnya dia berkenan untuk membeli beg tangan berwarna pink. Harga yang dipaparkan adalah RM189. Selepas diskaun dengan voucher bernilai RM100, harga yang perlu dibayar adalah RM89 sahaja. Ok, selesai disitu. Itu cerita sebulan lalu. :)


Namun pada hari ini, ketika isteri membuat window shopping di internet, beliau mendapat satu lagi promosi dari kedai yang sama. Potongan diskaun adalah sebanyak 50% ditambah dengan 20% menjadikan jumlah semuanya adalah 70%. Walaubagaimanapun, harga untuk beg tersebut telah naik dari RM189.90 ke RM289 iaitu peningkatan harga sebanyak 53%. Walaupun setelah memberi diskaun sebanyak 70%, syarikat ini sebenarnya masih lagi tidak merasa kerugian hasil diskaun yang tinggi. Saya sangat berharap supaya terdapat perbezaan dari segi kualiti ataupun design, jadi, tidaklah terasa sangat seperti ditipu bulat-bulat oleh syarikat ini.


Mungkin ini adalah strategi syarikat tersebut untuk mengaburi mata pelanggan mereka. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang harus kita belajar dari peristiwa ini:

1. Promosi syarikat akan sentiasa ada dan terkini. Namun, produk yang dipromosikan kadang kala adalah berkualiti yang sama. Jika hari ini dia bagi diskaun melalui voucher RM100, esok lusa dia boleh bagi diskaun lain sebanyak sehingga 70% (dengan syarat, harga produk dah dinaikkan).

2. Sifat yang ingin sentiasa kelihatan trendy akan memakan diri. Ya, ini kerana, setiap design sesuatu produk itu akan cepat berputar kitarannya. Mungkin hari ini nampak cantik, tapi esok lusa dah jadi outdated. 

3. Anda boleh jimat banyak jika dapat pendamkan hasrat untuk membeli barang berjenama. Jika anda berbelanja untuk beg yang mahal ini, anda akan menyesal satu hari nanti samada kerana kualiti beg tersebut (made in China) atau kerana perbezaan harga yang ditawarkan pada masa akan datang.

4. Trik dan teknik ini telah menguatkan lagi spekulasi bahawa jika sesebuah syarikat itu ingin memberikan diskaun harga sebanyak 70%, kebanyakkan dari mereka telah menaikkan harga terlebih dahulu sebelum memulakan kempen promosi mereka. Ini adalah trik yang biasa penjual di Malaysia lakukan.

5. Ramai orang akan rasa bangga kerana dapat membeli sesuatu produk pada harga diskaun sebanyak 70%. Namun, mereka harus rasa malu, kerana mereka telah ditipu secara terang-terangan oleh penjual tersebut. Secara logik, siapa yang nak rugi dengan memberi diskaun sebanyak tuh? Lainlah kalau dia dah markup harga tersebut sebanyak 100% semasa di awal penjualan produk tersebut.

Harap anda dan saya dapat belajar sesuatu dari peristiwa ini. 

P/s : Artikel ini bukan untuk memburukkan mana-mana syarikat. Ianya semata-mata bertujuan untuk pendidikan kewangan untuk rakyat Malaysia.

Wednesday, January 28, 2015

Diturunkan Rating Kerja

1/28/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, saya sihat. Anda bagaimana? Saya doakan semoga anda terus sihat, kaya dan terus berjaya. InsyaAllah. :)

Setiap pekerja yang bertaraf makan gaji, pasti akan terasa tekanan apabila menjelang akhir tahun. Ya, tekanan kerja untuk menghabiskan semua projek yang dibuat dan dijalankan pada tahun tersebut. Dan yang paling penting, ketika proses penilaian untuk menilai samada kita menepati aras penanda yang ditetapkan oleh pihak majikan.

Didalam proses penilaian ini, akan ada perbincangan secara dalaman antara kita dan juga pengurus. Kebiasaannya, perbincangan ini akan berlanjutan hingga ke 2-3 hari kerana setiap perbincangan pasti ada juga hujahan dan alasan yang diberikan untuk melindungi kepentingan samada diri kita mahupun pengurus kita. 


Pada tahun 2014, ini adalah PPAE (Performance Appraisal for Executive) yang ke 4 bagi saya selama hampir 5 tahun berkhidmat di syarikat minyak dan gas di ibu negara. Walaupun perbincangan antara saya dan pengurus boleh dikatakan tiada masalah, namun keputusan akhir adalah seperti yang dijangka. Walaubagaimanapun, perbincangan beberapa hari lepas antara saya dan pengurus kanan syarikat adalah sesuatu diluar jangkaan apabila saya diberitahu bahawa rating telah diturunkan dari XX ke XX. Ini berpunca dari persekitaran ekonomi dunia yang 'memaksa' syarikat membuat keputusan drastik. Sedih sungguh. Namun, inilah realiti kehidupan. 


Dulu, seorang guru pernah berpesan kepada saya :- "Di dalam dunia korporat, jika anda tidak makan orang, orang akan makan anda". Sangat mendalam ayat-ayat ini. Kini, saya memahami sepenuhnya.

Bagi anda diluar sana yang menghadapi senario yang hampir sama, janganlah terus berputus asa. Yakinlah, rezeki itu datangnya dari Tuhan pencipta alam. Dia boleh cabut nikmat rezeki yang dikurniakan pada saat ini, Dia juga boleh berikan rezeki lain dari sumber yang tidak disangka-sangka. Sesungguhnya, kita merancang, tetapi, perancangan Allah adalah yang lebih Maha Berkuasa.

Semoga dengan rating PPAE ini, saya akan terus berusaha untuk memajukan diri saya di masa akan datang. Walaupun mungkin bukan di dalam syarikat minyak dan gas lagi, tetapi besar impian agar saya dapat memajukan diri didalam empayar perniagaan yang diusahakan oleh tangan saya sendiri pada masa akan datang. InsyaAllah. :)

Jumpa lagi di entry seterusnya nanti. :)

Recent

recentposts

Random

randomposts