Wednesday, December 24, 2014

Pengalaman Membeli Kereta Proton Preve - Bhg. 2

12/24/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Jika anda terlepas membaca bahagian 1 sebelum ini, sila klik di sini. Baiklah, hari ini saya ingin berkongsi dengan anda apa cabaran yang saya hadapi ketika ingin membeli kereta. Cabaran ini hanya terpakai kepada saya, dan mungkin tidak terpakai untuk anda. Jadi, anda bacalah dan hadamnya seorang diri. :)


1. Kereta yang ingin dibeli.
Jika anda ditempat saya, pasti anda inginkan kereta yang berkualiti dan pada masa yang sama, ianya adalah ''Value for Money". Bila kita kata value for money, jarang kita akan dengar yang kereta Proton adalah kereta yang sesuai untuk istilah ini. Rata-rata pengguna di internet menyatakan bahawa kereta Proton adalah "Overpriced" atau terlebih harga  berbanding dengan harga kereta import yang diketahui mahal disebabkan oleh cukai. Rata-rata dari ahli keluarga juga mencadangkan kepada saya untuk membeli kereta seperti Nissan Almera, Honda City atau Toyota Vios. Tapi, disebabkan bajet saya yang agak terhad, saya harus memilih kenderaan yang sesuai dan yang mampu untuk saya membayarnya pada setiap bulan.

2. Pinjaman bank
Sebenarnya, ketika saya membuat keputusan untuk membeli kereta pada 21 Disember 2014, ianya adalah sudah agak lewat. Lewat disini adalah kerana promosi diskaun sebanyak RM8 ribu yang ditawarkan oleh Proton akan berakhir sehingga 31 Disember 2014. Ini bermakna, saya hanya mempunyai 10 hari sahaja atau lebih kurang 6 hari bekerja sahaja untuk mendapatkan pinjaman bank. Seperti yang diduga, bukan semua bank yang mahu terima cadangan saya untuk membeli kereta ini memandangkan saya tidak mempunyai pendapatan. Antara bank yang saya pergi adalah Hong Leong Bank, BSN, Bank Rakyat, RHB, Al-Rajhi, Kuwait Finance House, Maybank dan yang terakhir sekali adalah Public Bank. Public Bank ini adalah bank panel kepada dealer kereta tersebut.  Boleh dikatakan, hampir separuh bank yang tidak mahu pun memberikan pinjaman kepada saya. Maksud saya, saya ingin menghantar dokumen berkaitan pinjaman, namun mereka telah menolak mentah-mentah dengan berkata "Ini polisi syarikat kami untuk tidak memberikan pinjaman kepada mereka yang tidak berpendapatan". Apapun, ada juga bank yang sempat saya pergi dan berikan dokumen yang diperlukan. Sehingga ke hari ini iaitu 24 Disember 2014, saya masih belum mendapat apa-apa jawapan dari mana-mana bank. Ini bermakna saya hanya ada 4 hari bekerja sahaja lagi untuk mendapatkan pinjaman!

3. Penjamin
Pada asalnya, saya bercadang untuk tidak menggunakan sebarang penjamin. Bukan apa, ianya akan memberikan persepsi yang kurang baik jika kita inigin mendapatkan penjamin. Walaupun saya mampu bayar bulanan kereta ini, namun pihak bank masih lagi berdegil menyatakan mereka memerlukan sesuatu sebagai jaminan yang saya mampu untuk membayarnya pada masa hadapan kelak. Disebabkan oleh tempoh masa yang agak singkat, saya memberanikan diri untuk menanya abang saya jika dia sudi menjadi penjamin. Akhirnya, dia bersetuju. Lalu saya kumpulkan semua dokumen yang diperlukan seperti salinan IC, lesen memandu, slip gaji 3 bulan yang terkini dan juga penyata bank. Cepat-cepat saya emelkan dokumen tersebut ke semua bank yang saya tulis diatas.

Adakah pinjaman saya akan diluluskan oleh pihak bank? Dan pihak bank yang manakah yang sanggup mengambil risiko dengan memberikan pinjaman kepada saya? Saya akan kongsikan di entri berikutnya selepas saya mendapat kepastian dari pegawai bank berkaitan. 

Jumpa lagi. :)

Tuesday, December 23, 2014

Pengalaman Membeli Kereta Proton Preve - Bhg. 1

12/23/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tajuk hari ini adalah berkaitan dengan pengalaman saya cuba membuat pinjaman kereta, tetapi dengan senario dimana saya tidak mempunyai pendapatan yang diperoleh buat tempoh masa 9 bulan. Seperti yang anda sedia maklum, saya sekarang ini sedang mengambil cuti tanpa gaji selama 9 bulan bertujuan untuk mempercepatkan proses menghabiskan silibus ACCA. 



Baiklah, sebenarnya dah lama juga terfikir untuk membeli kereta baru. Maklumlah, kereta yang sedang saya pakai sekarang ini sudah berusia lebih dari 15 tahun. Walaupun masih OK, namun saya sentiasa rasa seperti tidak selamat terutama sekali apabila hendak berjalan jauh dari KL-JB. Hampir setiap kali balik, saya akan membelanjakan sedikit duit untuk servis mahupun kerosakan yang berlaku ketika berada di Johor. Jadi, setelah berfikir agak lama, saya telah membulatkan hati untuk mengambil kereta baru yang pada pendapat saya, saya mampu untuk membayarnya pada setiap hujung bulan.




Bagaimana ianya bermula?
Sebenarnya, dah lama saya memendamkan rasa untuk memiliki kereta baru. Selepas hampir 5 tahun bertugas di syarikat minyak negara, saya rasa, sudah tiba masanya untuk menikmati penggunaan kereta baru. Rata-rata graduan, akan terus membeli kereta baru selepas sebulan dua bekerja. Namun, saya mengambil masa agak lama, iaitu 5 tahun untuk membuat keputusan ini. Kereta sekarang iaitu Proton Iswara, masih lagi elok untuk dipakai. Ianya boleh dikatakan masih lagi sedap kerana tidak ada keluar bunyi yang kasar di bahagian enjin. Perkara ini telah di verified oleh mekanik di beberapa tempat yang saya pergi. Namun kerosakan kereta yang berlaku pada 3 November lalu menjadi titik tolak kepada saya untuk membuat keputusan samada saya PERLU beli kereta baru atau tidak. 

Dan ya, selepas beberapa analisa/ kajian yang saya lakukan terhadap kedudukan kewangan saya, serta pendapat dan juga harapan dari orang tua, saya telah memberanikan diri untuk membeli kereta baru ini. Sudah pasti, banyak halangan yang saya tempuhi ketika percubaan untuk membeli kereta ini. Adakah anda ingin mengetahuinya? Saya akan kongsikan di entry yang seterusnya. InshaAllah. :) 


Thursday, December 18, 2014

Quotable Billionaire

12/18/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Semoga anda terus sihat hendakNya. Hari ini saya ingin berkongsikan ulasan untuk sebuah buku yang pada pendapat saya, ianya sangat membantu saya dan mungkin juga anda, untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Buku yang saya maksudkan adalah The Quotable Billionaire yang ditulis oleh Steven D. Price.


Walaupun saya tidak pernah mengenali penulis buku ini, namun saya berpendapat buku ini penuh dengan tips dan juga kata-kata semangat yang sememangnya mampu membakar semangat anda. Tidak perlu risau jika anda bukan seorang usahawan ataupun ahli perniagaan kerana buku ini dengan jelas telah memberikan semangat kepada semua kategori pembaca, termasuklah kepada saya sekali iaitu seorang penganggur muda.

Di dalam buku telah dibahagikan kepada beberapa seksyen seperti Rahsia Kejayaan, Kepimpinan, Pelaburan dan juga banyak lagi kategori. Antara beberapa ayat atau ucapan yang pernah dilakukan oleh pemimpin perniagaan dan saya sangat menggemarinya adalah seperti berikut:

"If you can actually count your money, then you are not really a rich man." 
- J. Paul Getty

"Anyone can be a millionaire, but to become a billionaire you need an astrologer." 
- J.P. Morgan

"The real measure of your wealth is how much you'd be worth if you lost all your money." 
- source unknown

Kata-kata semangat dan juga motivasi ini sepatutnya dapat memberikan kita inspirasi untuk terus bangkit dan lebih berjaya pada masa hadapan. Oleh itu, rancanglah masa hadapan anda supaya anda juga terus kaya dan berjaya!. Insha Allah. 

Wednesday, December 17, 2014

Bagaimana anda boleh menjana RM10 ribu pertama anda? - Tips 1

12/17/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tajuk post hari ini agak menarik bukan? Bagaimana anda boleh menjana pendapatan RM10 ribu yang pertama dalam kehidupan anda. Bukan semua orang boleh melakukannya, namun ia juga tidak harus dijadikan alasan untuk menggagalkan usaha anda mencapai RM10 ribu pertama. Mungkin, anda telah pun memperolehi RM10 ribu yang pertama melalui pelbagai usaha dan kerja yang anda sangat suka. Kalau begitu, apa kata anda kongsikan bersama saya di bahagian komen dibawah? :)



Suka saya ingatkan disini, untuk menjana pendapatan sebegitu, perkara yang paling dan paling penting dalam hidup anda adalah, anda wajib mempunyai fikiran positif yang membenarkan tubuh badan anda untuk berusaha mencapai matlamat tersebut. Jika fikiran anda masih lagi sentiasa memikirkan hal-hal negatif, sampai kesudahnya, memang tidak akan ada apa-apa yang anda boleh usahakan. Jadi, fikirlah positif setiap masa. InshaAllah, semoga usaha anda akan dipermudahkan nanti. 

Berbalik kepada tajuk kita diatas, terdapat pelbagai cara yang boleh diusahakan. Namun saya fikir, baiklah kita belajar sesuatu yang paling asas sekali didalam dunia pelaburan. Apa yang paling asas sekali ye? Jawapan adalah:

Tips 1 - Belajar tentang compounding interest atau kadar berganda

Jika wang yang anda ada pada hari ini adalah RM5,000 dan dibiarkan selama 10 tahun dengan kadar dividen sebanyak 8% setahun, anda akan memperoleh sebanyak RM10,795. Ya, Ianya adalah keuntungan yang anda perolehi tanpa membuat apa-apa. Biarkan sahaja di institusi kewangan yang berdaftar yang memberikan pulangan seperti diatas untuk menjana RM10 ribu anda.

Warent Buffet, seorang pelabur yang sangat terkenal di seluruh Amerika pernah berkata, di dalam dunia pelaburan, hanya ada 2 peraturan yang paling asas iaitu:

Peraturan 1 : Jangan kehilangan duit anda
Peraturan 2 : Jangan lupa tentang Peraturan 1 diatas

Ya, bunyinya agak mudah, tanpa kita selalu terlupa atau cuai tentang Peraturan 1 tersebut. Kesimpulannya, untuk menjana pendapatan yang anda inginkan, anda kena selalu ingat, walauapapun yang lakukan, janganlah membuatkan anda kehilangan duit anda!



Promosi Free Seats dari Malindo Air

12/17/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 

Hari ini, apabila saya buka emel saya, saya sangat teruja apabila mendapat emel dari Malindo Air yang sedang membuat promosi hebat dengan memberikan tempat duduk percuma. Ya, ini adalah strategi yang sama digunakan oleh pihak Air Asia dan nampaknya, ianya agak berkesan untuk dibuat di dalam negara kita. 


Walaubagaimanapun, harus diingatkan bahawa promosi ini hanyalah untuk tempoh perjalanan dari 5 Januari hingga 12 Februari 2015. Bagi anda yang sudah merancang untuk bercuti, rebutlah peluang ini sementara seat masih ada lagi. 

Apapun, merancanglah dengan bijak percutian anda supaya semuanya berjalan lancar dan dapat menikmati percutian yang hebat nanti.  

Friday, September 19, 2014

Air Asia Sedia Terima Staf MAS - Bahagian 2

9/19/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Jika anda terlepas membaca artikel sebelum ini, anda boleh lawati laman tersebut di sini.

Pada pandangan kasar saya sebagai seorang yang pernah bertugas didalam sektor korporat, pengurangan kos operasi adalah sesuatu tindakan yang amat sukar dibuat. Ini disebabkan apabila kos operasi dikurangkan, secara tidak langsung banyak aktiviti atau transaksi yang harus dikurangkan dan disusun mengikut keperluan dahulu. Walaubagaimanapun, untuk terus beroperasi, ini adalah satu langkah berani yang mesti diambil oleh syarikat.



Baiklah, saya akan cuba huraikan antara pro dan kontra dalam isu pengurangan tenaga kerja sesuatu syarikat:

PRO:
1. Kurang Kos Operasi
Kadanga kala, apabila pengurangan tenaga kerja (retrenchment) dilakukan, antara pekerja yang akan ditawar untuk proses ini adalah pekerja senior. Ini disebabkan oleh faktor gaji mereka yang mahal disamping faedah (benefits) lain yang agak tinggi kosnya seperti faedah perubatan, KWSP dan lain-lain.

2. Mengekalkan Pekerja Yang Berdaya Saing 
Apabila pekerja yang diambil adalah berdasarkan merit dan kualiti kerja mereka, sudah pasti syarikat akan mengekalkan pekerja yang mempunyai merit yang tinggi. Jadi, mereka tidak perlu untuk menggajikan pekerja yang sederhana atau mempunyai merit yang secara relatifnya rendah.

3. Memperkenalkan idea-idea baru
Sudah sedia maklum, apabila kita mengekalkan pekerja yang dikategorikan sebagai senior, kadang kala mereka enggan untuk menggunakan pendekatan baru dalam menyiapkan tugasan mereka. Mereka kadanga kala lebih selesa untuk menggunakan pendekatan sedia ada. Kehadiran pekerja baru atau pengekalan pekerja yang berdaya saing tinggi mampu menambahbaik kualiti sesuatu proses dalam tugasan mereka.

4. Memecahkan kesatuan kerja
Umum mengetahui, kesatuan kerja adalah penting kepada setiap pekerja demi menjaga kebajikan mereka. Ini adalah baik untuk semua pekerja. Tetapi apabila kesatuan kerja telah meminta itu dan ini tanpa melihat kepada kedudukan kewangan syarikat mereka bekerja, ini akan menjadi beban kepada syarikat. Dan pengurangan pekerja dilihat mampu memecahkan kesatuan ini. Ini hanya pendapat peribadi saya sahaja. 

KONTRA:
1. Kos Pampasan Yang Tinggi
Setiap aktiviti pengurangan tenaga kerja pasti disusuli dengan kos yang harus ditanggung sebagai pampasan kepada pekerja tersebut. Ini walaupun tidak disukai oleh pihak pengurusan, namun mereka terpaksa menyediakan pampasan ini sebagai satu bantuan kewangan sementara mereka mencari peluang pekerjaan yang lain. Dalam kes ini, difahamkan berjuta ringgit disediakan sebagai pampasan kepada mereka yang terlibat.

2. Operasi Skala Rendah - Hilang Penguasaan Pasaran
Apabila ramai pekerja telah diberhentikan, ini memberi makna bahawa syarikat lebih bersedia untuk menjalankan operasi dengan skala yang lebih kecil tetapi menguntungkan. Ini secara tidak langsung, telah mengurangkan penguasaan mereka terhadap pasaran yang selama ini menjadi sasaran mereka.

Banyak lagi yang ada di dalam minda ini, namun saya rasa cukup setakat ini sahaja coretan saya. Terima kasih kerana sudi membaca. :)



Recent

recentposts

Random

randomposts